SURATAN ATAU KEBETULAN ...sesuatu yang tak disangka, seringkali mendatangi kita, itukah suratan dalam kehidupan, atau hanya satu kebetulan....



Saturday, April 30, 2011

SUP GEAR BOX yang membawa kenangan terindah




SALAM

Ingat masa dulu-dulu (biarpun ada orang tak suka ingat perkara yang lepas)SUP GEAR BOX....kali pertama makan masa melawat kawan di Machang Kelantan. Kali ini masak sendiri dirumah demi mengingatkan orang tersayang yang memang suka makan sup( demi menyambut hari ulang tahunnya yang ke 26 tahun) (jika dia ada pasti aku siapkan nasi impit sekali) terbayang wajah keceriaan dia mengadap sup yang aku masak....hmmmmm







Thursday, April 28, 2011

MASIHKAH KAU INGAT....29hb.April




Masihkah kau ingat tarikh keramat ini
Masihkah kau ingat siapa yang membawa kau kedunia ini
Masihkah kau ingat susu mula yang di hisap
Masihkah kau ingat tangan mana yang menyuap
Masihkah kau ingat siapa yang memegang ketika kau bertatih
Masihkah kau ingat ayat pertama yang kau sebut
Masihkah kau ingat siapa yang memberi kau pelajaran setinggi langit
Masihkah kau ingat siapa yang mengajar nilai sen dan ringgit
Masihkah kau ingat siapa yang kau cari ketika kau merintih pedih dan sakit
Masihkah kau ingat dibahu siapa disandari ketika sedih ditinggalkan waktu cinta monyet
Masihkah kau ingat bila melihat gambarku yang berperut membuyong
Masihkah kau ingat gelak ketawa mu ketika aku menyanyi dan menari
Masihkah kau ingat jerit pekik mengejutkanmu diwaktu pagi
Masihkah kau ingat setiap kali kau menimbulkan masalah siapakah yang selesaikannya

Sesungguhnya aku akui merindui itu semua…….

Biarpun kini tiada lagi... segalanya telah “mati” sejak kau pergi
Biarpun itu semua bukan mimpi…

Jika kau masih ingat... bererti kamu masih ada hati
Jika kau masih ingat... bererti nafasmu masih ada disini lagi
Jika kau masih ingat... aku berdua masih tetap setia menanti
Jika kau masih ingat... jalan kembali masih tidak berubah
Jika kau masih ingat... janji-janjimu kepadaku yang kau gubah
Jika kau masih ingat... setiap sumpahmu ketika aku mengadap sejadah

Ingat dan hitunglah sementara sempat
Ingatlah syurga itu tetap dibawah telapak kaki ibu… sebelum terlambat...
Masihkah kau ingat !!!… masihkah ???… waktu berlalu terlalu cepat…


29/04/1985 - Adik Happy Birthday
29/04/2011 - Taman Seri Gombak





Monday, April 18, 2011

MASIH ADAKAH KESEMPATAN ITU....



Hari dihitung......masa terus berlalu
Setiap detik terasa pantas berlari
Dalam sedar dan dalam kealpaan
Terasa diri semakin jauh terpinggir.......
Terasa banyak yang terkurang
Terasa banyak yang terbuang
Masa yang berlalu terasa rugi
Rugi kerana persiakan
dengan angan-angan dan harapan
Harapan yang tidak mungkin jadi kenyataan

Bukan untuk mengutip hasil ......
Jauh dari menepuk dada atau menagih sempati....
Hanya keluhan dan rintihan sepasang HATI.....

Adakah itu takdir, atau adakah itu malang sendiri....
Segala usaha hancur……...berterabur……
Dan aku akhirnya jatuh tersungkur
Tiada doa untuk merestui, jauh sekali meredai………..

Tidak juga menolak qadar dan qada’…………….
kerna hati dan sifat keibuanku telah dicabuli
Dalam nafas yang sesak, jiwa semakin sebak
Penantian ku kini hanya di tanganMu Ya Ilahi…Ya Rabbi…



18 April 2011
PDN Jln Tun Razak KL






Saturday, April 16, 2011

DIA DATANG LAGI....



Dia datang lagi...
Menjenguk aku kesepian disini
Dia datang lagi untuk menagih janji
Janji yang aku sendiri kurang pasti
Dia datang lagi mengikuti mimpi
Mimpi yang aku sendiri tidak ingini

Tolonglah aku...temani aku… yang hampir karam sendiri
Bertaup diakar yang sangat rapuh
Mengharap sesuatu….tapi yang diharap hampir tertiarap

Tolonglah kembalikan sinar yang berseri
Dalam diri ku yang hampir mati

Dia datang lagi...
Menagih janji dalam esak tangis
Menemani diri ini
Agar tidak sendiri lagi
Dia di sini….
Menjanjikan seribu erti
Menemani ibarat pelangi
Menjadikan hidup riang kembali


16 April 2011
Tmn Seri Gombak

Tuesday, April 12, 2011

NILAI DALAM HUBUNGAN KEKELUARGAAN



Keluarga merupakan sumber identiti dan kekuatan kita. Orang kata kita boleh memilih rakan/teman tetapi bukannya keluarga. Hubungan kekeluargaan yang akrab, indah, baik belaka itu tidak terjadi secara automatik. Ia memerlukan banyak komunikasi, kerjasama dan perasaan saling menghormati di kalangan ahli keluarga.

Setiap keluarga mempunyai nilai dan maruah yang dipertahankan melalui peranan yang diharapkan daripada ahli-ahli keluarga. Keharmonian berkeluarga dicapai melalui hubungai baik antara semua ahli keluarga. Tiada siapa menduga dalam sesebuah keluarga pasti juga terdapat pasang surut dan masalah, bala bencana yang tidak pernah diundang. Disinilah satu ikatan kekeluargaan juga kesefahaman amat diperlukan. Dapat membantu menyelesaikan sesuatu masalah dengan mengambil berat, bertanya khabar , serta kunjung mengunjungi tanpa perlu diundang terlebih dahulu (jangan dianggap busy body). Dalam sesebuah keluarga, kekurangan komunikasi biasanya menyebabkan rasa marah dan salah faham. Mungkin sukar untuk berbicara dengan ahli keluarga tapi cubalah untuk melakukannya apabila terdapat kesempatan.

Kita mungkin sibuk dengan urusan dirumah masing-masing atau di tempat kerja tapi meluangkan masa dengan keluarga selama sehari atau bila berkesempatan akan membuatkan kita rasa lebih dekat dengan mereka. Luangkan masa dengan orang tua ketika bercuti atau dihari-hari minggu tanpa membicarakan hal-hal kesibukan dan urusan kerja kita. Kita bersama keluarga boleh meluangkan masa dengan keluar berkumpul bersama-sama. Sekiranya kita mempunyai keluarga yang telah berkahwin dan mempunyai keluarga sendiri, rancangkan hari bersama berkumpul tanpa mengira siapa kedudukan kita, pulang menjenguk orang tua (sekiranya ada), bermalam bersama dan pastinya kemudahan untuk bermalam sukar kerana anak-anak makin membesar, pasti ada cucu yang masih kecil, anak lelaki atau perempuan yang makin meningkat usia, jangan jadikan tiada keselesaan itu satu penyebab untuk kita menjenguk orang tua sekadar melepas batuk ditangga atau sekadar melihat sesuatu pameran. Dan satu ketika nanti kita juga akan menjadi orang tua, bagaimana pula layanan anak-anak kita?....

Dalam satu keluarga, terdapat bermacam-macam personaliti, juga bermacam-macam masalah. Jika pun tidak dalam keluarga kita, mungkin pada abang, kakak atau adik-adik kita. Kita tak akan mengenali ibu bapa dan adik beradik sepenuhnya walau dah lama tinggal sebumbung. Memahami bagaimana ibu bapa dan adik beradik memberikan respons terhadap situasi tertentu serta membantu menyelesaikan serba sedikit masalah dan bukan hanya sekadar membantu dengan wang ringgit tapi pergunakanlah kelebihan usia atau pangkat panggilan (abang long, kak long, pak long, maklong dll) dengan memberi pandangan atau setidak-tidaknya menjadi penasihat kepada yang lebih memerlukan, ini juga boleh membantu berkomunikasi dengan mereka. Seorang adik atau anak mungkin lebih ceria dan mudah untuk meluahkan perasaannya kepada seseorang dalam keluarga itu, manakala yang seorang lagi mungkin lebih sensitif dan gemar memendam rasa. Dengan mengetahui perkara begini, kita akan lebih memahami ahli keluarga kita terutamanya dalam situasi-situasi yang kritikal. Kita bukan hanya ingin melihat kejayaan sesebuah keluarga, kegembiraan mereka, kadang-kadang kejatuhan, kesusahan atau malang sesebuah keluarga tidak siapa yang menduga. Apa salahnya kita menjenguk atau menziarahi atau menghulurkan tangan memberi bantuan (tidak semestinya wang ringgit) cukuplah sekadar tenaga menasihati, mengambil tahu atau mengambil berat.

Oleh itu, institusi keluarga adalah institusi yang terpenting dalam proses pembentukan individu yang sihat rohani dan jasmaninya, lagi berilmu dan bermoral. Ibarat kata pepatah “Cubit peha kiri, peha kanan terasa sakit juga”...

Sunday, April 10, 2011

Nostalgia Aku, Dapur Minyak Tanah dan Batu Giling

sudah hampir 37 tahun usia dapur ni...


Batu giling yg diwarisi dari emak

Mungkin orang-orang zaman sekarang hanya pernah melihat “ Dapur Minyak Tanah” tapi tidak pernah mengguna atau tidak tahu menggunakannya. Tapi sekitar awal tahun 60 an dapur ini kebanyakkannya berada di rumah-rumah orang yang berpendapatan sederhana. Waktu itu jika menggunakan dapur ini sudah dikira keluarga itu “mewah”. Aku dibesarkan dizaman itu, dapur ini memang digunakan oleh keluargaku untuk memasak selain menggunakan dapur kayu, dan aku serta adik beradikku dibesarkan dengan masakan dari dapur seperti ini.


Sebenarnya aku nak bercerita pasal dapur ini yang aku beli pada akhir tahun 1974. Sewaktu kali pertama aku berhijrah ke Kuala Lumpur dan tinggal bersama kawan-kawan bujang di Kg Baru (Jalan Perkin = Jalan Raja Alang), aku beli dapur ni sekitar harga RM 55.00 (1/4 daripada gaji bulanan ku hehehe…), kedai dekat pasar Chow Kit. Kami berkongsi bertiga menggunakan dapur ni. Dari bayaran membeli minyak tanah juga keperluan dapur. Selepas itu aku berpindah pula ke Kg Datuk Keramat, aku bawa sekali dapur ini. Disini juga aku bekongsi seramai 4 orang. (waktu itu teman-teman yang menggunakan dapur “semawa” yg terpaksa di “pump” dulu.) Sehinggalah aku berumahtangga, dapur ini aku bawa pindah ke Simpang Tiga Gombak. Dapur inilah harta yang pertama memulakan kehidupan aku sebagai orang rumah, dengan dapur ini juga aku dapat memasak untuk anak2, biarpun ketika itu aku sudah mampu membeli dapur gas berjenama“bompani” tiga tungku tapi kerana kurang mampu membeli gas dan untuk menjimatkan jadi dengan dapur inilah aku gunakan seharian. Bagiku dapur ini begitu “sentimental” denganku. Mana tidaknya, dapur ini aku gunakan untuk membuat kuih cakar ayam hampir beratus keping (untuk jualan), juga membuat rendang ikan bilis berkilo (untuk dihantar pada adikku yg belajar di Amerika), dapur ini juga untuk aku masak beratus biji sarung “Singapore pie”. Sehingga kini dapur ini masih boleh digunakan. Begitu juga periok tanah untuk memasak gulai kari (pastinya kari sedap) dan senduk tempurong. Bukan sekadar dibuat hiasan atau sebagainya. Tapi untuk kegunaan seharian.


Batu giling ini aku dapat warisi dari emak. Batu ini juga mempunyai nostalgia dalam kehidupan aku, dari zaman remaja. Sekitar tahun 60 an hingga 70 an keluargaku menggunakan batu giling ini untuk menggiling cili dan sebagainya. Pastinya anak-anak zaman sekarang tak tahu menggunkannya. Sudah berkilo2 cili yang aku giling waktu itu dan tangan aku semesti pijar kepanasan kerana terkena cili. Zaman dulu untuk menyimpan cili yang sudah digiling, cili itu mesti berada didalam keadaan pekat dan boleh dikepal, kemudian disimpan dalam bekas pasu yang berisi garam kasar, cili ini boleh bertahan tiga atau empat hari. Kedua barang-barang ini begitu senonim dengan kehidupan aku, mungkin bagi orang lain sekadar dibuat hiasan tapi bagi aku ianya menjadi barang yang sememangnya aku guna, dan tahu menggunakannya.


Hingga sekarang ianya tetap disimpan sebagai kenangan dan tak mungkin aku buang selagi aku masih bernyawa.

Saturday, April 9, 2011

(Artikel: Buat Renungan Diri Sendiri juga pada sesiapa)

Rumahku Syurgaku

Hanya Dia yang tahu segala2nya Cukuplah dgn rezeki yang termampu "Bershoping"lah seadanya


BERSEDERHANALAH


Jika perlu marah , marahlah tetapi usah terlupa dengan perkataan sabar ; jika perlu menangis , menangislah tetapi usah terlupa dengan perkataan tenang ; jika perlu patuh , patuhlah tetapi jangan sampai hilang kemerdekaan . Jika mahu miskin , miskinlah tetapi jangan terlalu miskin , nanti mudah menjadi kufur ; kalau mahu kaya , kayalah tetapi jangan terlalu kaya sampai terlupa perkataan sedekah ; jika mahu menjadi warak , lakukanlah ibadah sebanyak-banyaknya tetapi jangan sampai terlupa keperluan dunia . Kalau mahu sebuah kereta mewah , belilah selagi mampu dan menepati keperluan semasa ; kalau mahu dua buah rumah , belilah asal jangan sampai tak tahu makna perkataan puas ; kalau mahu menimbun harta , bekerja keraslah asal jangan sampai terlupa ibadah . Kalau mahu berhibur , berhiburlah asal tidak terlalu sakan dan menyalahi syariat ; kalau mahu memperkatakan hal orang , berkatalah asal jangan sampai mengumpat ; kalau mahu cemburu dengan kejayaan orang , cemburulah asalkan anda pun berusaha kuat sepertinya . Hidup sederhana akan memastikan anda tidak akan miskin selama-lamanya . Bersederhana dalam segala hal adalah titik kejayaan dalam semua perkara . Orang yang terlalu kaya kadang-kadang apabila miskin terus muflis ; orang yang terlalu pandai kadang-kadang apabila bodoh terus sasau ; orang yang terlalu kuat kadang-kadang apabila lemah terus tidak tidak berdaya . Binalah harta sebanyak-banyaknya tetapi jangan sampai anda menjadi hamba kepada harta ; binalah ibadah banyak-banyak tetapi jangan sampai terlupa soal-soal dunia ; binalah kedudukan di tengah manusia tetapi jangan sampai hilang kepercayaan orang dan tercalar maruah diri . Bukanlah seorang yang baik kalau beribadah sepanjang masa sedangkan untuk makan minumnya terpaksa meminta-minta . Seeloknya bersederhana dalam beribadah lantaran bekerja itu pun ibadah , membuang halangan di jalanan juga ibadah , menasihati orang juga ibadah . Orang yang bersederhana sentiasa terpandang di mata dunia . Dia tidak akan hina oleh kemelaratan dan tidak terlalu tersohor oleh kepopularitian. Dia terpandang sepanjang masa baik oleh orang yang hina mahupun orang yang mulia . Berkuasanya bersederhana bagai kan pakaian yang menjadi penebat pada rasa dingin dan panas yang membakar . Sayidina Ali r.a . berkata , " Berakhiratlah mengikut kemampuan dan janganlah menjadikan keluargamu hina dalam kemiskinan ." Hendak bersedekah jangan sampai jatuh miskin ; menyimpan harta jangan sampai digelar si bakhil , beribadah jangan sampai semakin jahil . Kata sayidina Ali r.a . lagi , " Insan tidak akan melihat kesalahan seseorang yang bersifat tawaduk dan lemah lembut ." Tawaduk dan lemah lembut adalah kesederhanaan yang nyata , membangkitkan kasih sayang dan menumbuhkan cinta tulus . Jika anda impikan penghormatan manusia maka bersederhanalah dalam berbicara, , berbatas-batas tatkala bergurau senda dan menyimpan sebahagian kesukaan ketika terlalu gembira .


Bersederhana adalah jawapan kepada segala-galanya