SURATAN ATAU KEBETULAN ...sesuatu yang tak disangka, seringkali mendatangi kita, itukah suratan dalam kehidupan, atau hanya satu kebetulan....



Friday, January 27, 2012

Tazkirah Jumaat : Dosa Besar

Hari ini, Jumaat, 27 Januari 2012. Seperti biasa saya akan pergi ke Masjid di kawasan perumahan ini agak awal juga, lebih kurang jam 12.30 tengahari. Saya ambil kesempatan untuk sembahyang sunat dan kemudian seperti biasa saya mencar-cari apa jua buku atau rencana yang menarik perhatian saya. Saya jumpa satu naskah yang ditulis secara ‘booklet’ dan selepas sembahyang sunat, saya terus membacanya, lembaran demi lembaran.

Saya terhenti seketika apabila terbaca satu perenggan yang menerangkan “Sesaorang itu telah melakukan satu dosa besar jika ia menderhaka terhadap ibu atau bapanya”. Saya mengingati kesalahan yang dilakukan oleh seorang anak terhadap ibunya. Berlinangan air mata saya ketika menghayati perenggan itu sambil mengeluh dan mengharap agar anak ini cepat sedar dari “tidur-lenanya”.

Dalam saya mengamati buku ini, penceramah yang menyampaikan tazkirah pada hari ini, Ustaz Rozali al-Hafiz juga memperkatakan perkara yang sama, mengenai anak yang menderhaka kepada ibu bapanya. Seolah-olah berjanji pula, secara kebetulan, buku yang dibaca dan tazkirah yang disampaikan memperkatakan perkara yang sama, walhal, tiada sesiapapun yang memberitahu tajuk yang dibincangkan. Saya mengikuti dengan tenang dengan linangan air mata apa yang diperkatakan oleh penceramah, dan ianya amat menyentuh hati saya.

Khutbah disampaikan oleh ustaz yang sama juga selaku Khatib, memperkatakan perkara yang sama dengan panjang lebar. Dengan nada jelas, khatib meningatkan, kesalahan dosa besar yang kita lakukan seperti “mensyirikkan Allah” dan seumpamanya akan dibalas oleh Allah swt di Hari Kiamat kelak, TETAPI, kesalahan melakukan DOSA BESAR dengan menderhaka kepada ibu atau bapa, Allah swt. akan membalasnya dengan cepat tanpa kita sedari hari dan waktunya. Saya tafakkur seketika, mengingati betapa besarnya dosa jika kita menderhaka kepada ibu atau bapa kita. Khatib menerangkan bagaimanakah perilaku yang ditafsirkan sebagai “menderhaka”, dan mengingatkan kita kepada beberapa ayat Al-Quran yang menerangkan perkara yang sama.

Saya sempat memohon ampun dan maaf daripada ibu saya semasa hayatnya. Malah setiap kali saya mengunjunginya, saya akan memeluk dan menciumnya sambil saya memohon ampun dan maaf atas apa juga kesilapan saya dari saya kecil hingga kedewasa ini; mohon dihalalkan segala makan minum dan susu-ibu yang membesarkan saya. Saya tahu ibu saya memang “manjakan” saya dan memanggil saya “ATAN”, iaitu nama timangan yang amat unik. Setiap kali saya akan mendapat jawapan dari ibu saya. Ibu dengan penuh tenang menerima dan membalas permohonan saya dengan kata-kata yang menyejukkan hati saya. Alhamdulillah.

Saya tidak berhajat untuk memanjangkan cerita dan kisah ini, saya serahkan kepada pembaca untuk menilai dan memikirkannya. Saya tidak juga berhajat untuk menujukan contoh dan teladan ini kepada sesiapa, cuma saya berharap, cerita ini akan menyedarkan kita semua untuk menghormati ibu dan bapa kita, meminta ampun maaf dari hujung rambut hingga ketapak kaki, atas apa jua kesalahan kita selama ini; menghalalkan semua makan minum, juga susu-ibu yang membesarkan kita dari sebesar dua jari telapak kaki hingga kedewasa kini. Setiap permohonan mesti ada jawapannya, dan kita harus menunggu dengan penuh sabar dan menerima jawapan balas dari ibu kita. Jawapan ini kelak akan memberi ketenangan dalam hidup kita, Insya-allah.

Kita harus mengambil kesempatan ini semasa kedua-dua ibu dan bapa kita masih ada bersama kita. Jika mereka sudah tiada kelak, kesesalan tidak harus dizahirkan, kerana semua itu sudah tidak ada ertinya lagi. Kita akan menanggung segala dosa atas kesilapan kita sehingga akhir hayat kita.

4 comments:

  1. Apa yg sdr zahirkan dlm tulisan tersebut memang benar terutama perenggan terakhir tersebut yg amat menyentuh perasaan saya...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terimakasih atas pandangan sdr. Segala yang dizahirkan adalah ikhlas, untuk dijadikan contoh, teladan dan panduan kepada kita semua, terutama kepada mereka yang masih ada ibu dan ayah, khususnya generasi muda masa kini. TQ. Assalamualaikum.

      Delete
  2. Replies
    1. Terima kasih atas ucapan takziah anda. Kita harus terus mengingati sesaorang yang kita kasihi walaupun dia telah lama pergi. TQ.

      Delete