SURATAN ATAU KEBETULAN ...sesuatu yang tak disangka, seringkali mendatangi kita, itukah suratan dalam kehidupan, atau hanya satu kebetulan....
Tuesday, April 12, 2011
NILAI DALAM HUBUNGAN KEKELUARGAAN
Keluarga merupakan sumber identiti dan kekuatan kita. Orang kata kita boleh memilih rakan/teman tetapi bukannya keluarga. Hubungan kekeluargaan yang akrab, indah, baik belaka itu tidak terjadi secara automatik. Ia memerlukan banyak komunikasi, kerjasama dan perasaan saling menghormati di kalangan ahli keluarga.
Setiap keluarga mempunyai nilai dan maruah yang dipertahankan melalui peranan yang diharapkan daripada ahli-ahli keluarga. Keharmonian berkeluarga dicapai melalui hubungai baik antara semua ahli keluarga. Tiada siapa menduga dalam sesebuah keluarga pasti juga terdapat pasang surut dan masalah, bala bencana yang tidak pernah diundang. Disinilah satu ikatan kekeluargaan juga kesefahaman amat diperlukan. Dapat membantu menyelesaikan sesuatu masalah dengan mengambil berat, bertanya khabar , serta kunjung mengunjungi tanpa perlu diundang terlebih dahulu (jangan dianggap busy body). Dalam sesebuah keluarga, kekurangan komunikasi biasanya menyebabkan rasa marah dan salah faham. Mungkin sukar untuk berbicara dengan ahli keluarga tapi cubalah untuk melakukannya apabila terdapat kesempatan.
Kita mungkin sibuk dengan urusan dirumah masing-masing atau di tempat kerja tapi meluangkan masa dengan keluarga selama sehari atau bila berkesempatan akan membuatkan kita rasa lebih dekat dengan mereka. Luangkan masa dengan orang tua ketika bercuti atau dihari-hari minggu tanpa membicarakan hal-hal kesibukan dan urusan kerja kita. Kita bersama keluarga boleh meluangkan masa dengan keluar berkumpul bersama-sama. Sekiranya kita mempunyai keluarga yang telah berkahwin dan mempunyai keluarga sendiri, rancangkan hari bersama berkumpul tanpa mengira siapa kedudukan kita, pulang menjenguk orang tua (sekiranya ada), bermalam bersama dan pastinya kemudahan untuk bermalam sukar kerana anak-anak makin membesar, pasti ada cucu yang masih kecil, anak lelaki atau perempuan yang makin meningkat usia, jangan jadikan tiada keselesaan itu satu penyebab untuk kita menjenguk orang tua sekadar melepas batuk ditangga atau sekadar melihat sesuatu pameran. Dan satu ketika nanti kita juga akan menjadi orang tua, bagaimana pula layanan anak-anak kita?....
Dalam satu keluarga, terdapat bermacam-macam personaliti, juga bermacam-macam masalah. Jika pun tidak dalam keluarga kita, mungkin pada abang, kakak atau adik-adik kita. Kita tak akan mengenali ibu bapa dan adik beradik sepenuhnya walau dah lama tinggal sebumbung. Memahami bagaimana ibu bapa dan adik beradik memberikan respons terhadap situasi tertentu serta membantu menyelesaikan serba sedikit masalah dan bukan hanya sekadar membantu dengan wang ringgit tapi pergunakanlah kelebihan usia atau pangkat panggilan (abang long, kak long, pak long, maklong dll) dengan memberi pandangan atau setidak-tidaknya menjadi penasihat kepada yang lebih memerlukan, ini juga boleh membantu berkomunikasi dengan mereka. Seorang adik atau anak mungkin lebih ceria dan mudah untuk meluahkan perasaannya kepada seseorang dalam keluarga itu, manakala yang seorang lagi mungkin lebih sensitif dan gemar memendam rasa. Dengan mengetahui perkara begini, kita akan lebih memahami ahli keluarga kita terutamanya dalam situasi-situasi yang kritikal. Kita bukan hanya ingin melihat kejayaan sesebuah keluarga, kegembiraan mereka, kadang-kadang kejatuhan, kesusahan atau malang sesebuah keluarga tidak siapa yang menduga. Apa salahnya kita menjenguk atau menziarahi atau menghulurkan tangan memberi bantuan (tidak semestinya wang ringgit) cukuplah sekadar tenaga menasihati, mengambil tahu atau mengambil berat.
Oleh itu, institusi keluarga adalah institusi yang terpenting dalam proses pembentukan individu yang sihat rohani dan jasmaninya, lagi berilmu dan bermoral. Ibarat kata pepatah “Cubit peha kiri, peha kanan terasa sakit juga”...
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment