Nostalgia – Siri 7
KASIH IBU SEPANJANG MASA
Suatu hari di hujung minggu, aku balik ke rumah abang sulong aku untuk menziarahi mak aku yang keuzuran. Sebaik sahaja aku sampai, mak aku sedang lena, walaupun setakat “tidur-tidur ayam”, di samping kakak aku yang menunggunya sejak beberapa hari yang lepas. Mak masih lagi seperti dulu, masih kurang upaya untuk bangun, kurang tidur terutama waktu malam dan nampak keletihan ketika bernafas.
Aku amat simpati dengan keuzuran mak dan menitis air mata aku melihatnya. Apabila ia sedar, mak masih mampu senyum untuk menyambut anaknya. Aku minta mak tenang dan mendengar aku membacakan surah Yaasin dan ia mengangguk setuju. Mak tidak akan menghampakan permintaan anaknya walaupun dia sendiri nampak tidak berdaya untuk membuat sesuatu. Itulah salah satu pengorbanan seorang insan yang kita panggil “mak”, “mama” atau “ibu”.
Waktu makan tengahari, mak disuapkan nasi bubur, dan mak akan makan dengan perlahan. Minum air kosong menggunakan “straw” kerana lebih mudah baginya. Untuk minum pagi, kadang-kadang mak minta nak minum nescafe, dan ada masanya kami sediakan juga minuman ovaltine atau Milo. Makanan paginya tak menentu, kadang-kadang dia makan apa sahaja yang disediakan untuknya. Dia masih berselera dan kami pastikan makanan itu sesuai untuknya.
Pagi berikutnya, aku melihat mak “moyok” je, kakak aku beritahu mak “merajuk”. Aku merapatinya dan mengusap muka dan dadanya serta mencium pipinya. Dia bercerita berbagai perkara, yang aku sendiri tidak faham dan hanya menjawab “ya” sahaja. Setelah dipujuk, akhirnya mak nak minum tapi minta nescafe yang katanya dah lama tak minum. “Minum Nescafe sebelah pagi, Ovaltine atau Milo malam je”, katanya. Aku setujukan sahaja, dan akhirnya dia minum, lepas itu beri dia “pisang goreng” yang telah diambil isinya sahaja. Aku katakan, pisang ni “pisang raja” dan mak ingat semula yang dia pernah ceritakan kepada aku mengenai “Pisang Raja” yang pernah dibawa balik oleh abangnya. Dia tersenyum mengingati kisah ini.
[Satu hari abang mak bawa balek “pisang raja” yang dah masak. Dia bertanya kepada abangnya, “Pisang apa ni?”. Abangnya menjawab “Pisang Raja”. Dia bertanya lagi, “Pisang siapa ni?” (bermaksud “siapa yang empunya pisang itu”), dan abangnya menjawab “Pisang Raja”. Dia minta dari abangnya sebiji, tapi abangnya berkata “Tak boleh, Pisang Raja!”.] Anda fikirkanlah kenapa dan mengapa.
Lepas itu mak makan laksa yang disuapkan; makan ubat yang perlu untuknya, dan aku minta dia berehat. Dia mengangguk-angguk tanda setuju, Alhamdulillah, hilanglah perasaan “merajuk” seorang ibu tua yang bernama Zabedah binti Burok (bapanya) bin Soh, dan binti Yam Jeriah (ibunya) bt Jaafar.
Assalamulaikum wbk.
Ditulis pada 4 Jun 2011
No comments:
Post a Comment