Nostalgia – Siri 8
PESANAN ALLAHYARHAM AYAHANDA
Ketika menulis untuk mengenang jasa-jasa mak aku yang keuzuran, aku teringat kepada Allahyarham ayahanda aku. Semasa hayatnya, abah adalah seorang guru, mendapat latihan awal sebagai “guru pelatih” di Sekolah Melayu, Kerdau, Pahang, kampong asalnya bermula pada 1 Disember 1913. Abah kemudiannya tamat latihan di Kolej Melayu, Melaka pada 7 Jun 1917. Sebagai seorang guru, abah sempat mengajar dibeberapa daerah di Negeri Pahang, antaranya di Ulu Dong, (Raub), Batu Yon, (Kuala Lipis), Bentong, Karak dan Temerloh. Sekolah yang terakhir dia mengajar sehingga bersara ialah Sekolah Melayu Lubuk Trua, yang berhampiran dengan tempat tinggal kami dan abah akan pergi balik mengajar dengan menaiki bot tambang. Abah bersara dari jawatannya setelah berkhidmat selama 29 tahun. Gaji seorang guru ketika itu hanyalah RM6 sebulan, wang dahulu!. Aku juga difahamkan ketika itu aku baru berumur 3 bulan. Gambar abah aku ini adalah gambar yang diambil untuk tujuan “bersara”, dan kalau dilihat, ada tanda pin-pejabat terpaku diatas topinya itu. Dari mana aku dapat gambar ini? Ini adalah “Rahsia Besar” yang hanya seorang-dua dari adik beradik aku yang tahu. Cubalah anda teka.
Sebagai seorang guru, abah amat suka membaca, termasuk berbagai jenis buku cerita, dari cerita kanak-kanak hingga kepada novel, terutama karya Hamka yang sangat diminatinya. Setiap kali abah balik dari menunaikan wang pencennya, pastinya abah akan membawa balik sekurang-kurangnya sebuah buku. Abah akan mengulangi membaca apa jua buku beberapa kali, dan membuat berbagai catatan untuk dia mengingati semula apa yang dia telah baca.
Abah juga mengumpul berbagai buku yang disimpannya sebagai “Khutub Khanah” atau “Perpustakaan”. Buku yang pertama dibelinya untuk simpanan ini ialah sebuah ensiklopedia terbitan dari Indonesia (aku sudah lupa akan tajuknya) yang dia daftarkan sebagai buku No. 1. Aku sendiri pernah melihat buku ini dan aku dapati nama yang serupa dengan nama aku digaris dengan pensil berwarna biru, yang berkemungkinan nama aku diambil dari buku ini. Sayangnya, banyak buku-buku abah telah hilang dari simpanan, aku sempat “merembat” beberapa buah buku, termasuk buku-buku “agama”.
Menggunakan mesin taip berjenama “Underwood” miliknya, abah menulis satu pesanan kepada anak-anaknya. Pesanan ini diberi tajuk “Tambahan BER” iaitu satu ingatan yang bermula dengan perkataan “Ber”, yang ditulisnya pada 19 Februari 1957. Aku menyalin semula Pesanan abah ini dengan menggunakan bahasa Melayu masakini, berbanding dengan penulisan asalnya. Semua kandungannya adalah yang asal, tidak ada yang ditambah mahupun ditinggalkan. Aku turunkan Pesanan abah aku ini untuk tatapan. Bukanlah perkara luar biasa bagi seorang bapa yang juga seorang guru menulis sesuatu untuk tatapan anak-anak dan keturunannya. Dalam hal ini, aku ingat, setelah ditulisnya, dimasukkan kedalam bingkai gambar untuk tatapan anak-anak atau sesiapa sahaja yang sering ke rumah kami. Mudah-mudahan ahli-ahli keluarga yang lain, cucu-cucu, cicit-cicit atau sesiapa sahaja, akan dapat mengenali Abah secara dekat melalui Pesanan ini. Mudah-mudahan juga, Pesanan abah ini boleh diamalkan dan diambil sebagai panduan oleh semua, sebagai memenuhi harapannya.
Abah meninggal dunia pada 29 Oktober 1979 bersamaan 8 Dzulhijjah 1399 dan di semadikan di Tanah Perkuburan Rantau Panjang, Lanchang, Pahang. Abah hanya memiliki “Surat Sumpah” mengenai tarikh lahirnya, dan abah dianggarkan berusia 91 tahun ketika ia kembali ke Rahmatullah. Itulah Allahyarham Ayahanda aku, Muhammad Liki bin Ismail bin Din bin Hamid bin Abu Talib bin Haji Montok bin Panglima Ali bin Xxxxx Xxxxxx (aku tahu nama ini, tapi sengaja tidak disebutkan!, Dengan harapan, ahli keluarga dapat meneka nama ini). Al-Fatihah, semoga Allah mencucuri rahmat keatas rohnya, Amin.
(Catatan: Semua fakta-fakta ini diperolehi dari rekod yang ada dalam simpanan.)
Assalamulaikum wbk.
Ditulis pada 1 Jun 2011
No comments:
Post a Comment