SURATAN ATAU KEBETULAN ...sesuatu yang tak disangka, seringkali mendatangi kita, itukah suratan dalam kehidupan, atau hanya satu kebetulan....



Sunday, May 29, 2011

LUAHAN HATI ABAH Vs HUBBY


Nostalgia – Siri 4

PENGORBANAN SEORANG IBU

Dalam mengenangi ibu aku yang keuzuran, aku teringat betapa besarnya pengorbanan seorang ibu kepada anak-anaknya. Ibu yang mengandung dan “membawa” anaknya selama 9 bulan, kemana sahaja, dan dalam apa jua keadaannya samada dalam sakit atau sihat, hujan atau panas terik sekalipun. Mengandungkan anak adalah juga satu pengorbanan dan memang tidak boleh dinafikan, kesusahan dan kesulitan yang dihadapi oleh ibu kita. Aku tidak berhajat untuk menulis dengan panjang lebar sehingga “9 bulan” juga, tetapi memadailah bagi aku mengingatkan diri aku betapa besarnya pergorbanan ibu aku, malah “ibu” atau “mama” atau “mak” sesiapa jua sekalipun.

Ketika ibu yang menunggu kelahiran kita, dia akan senantiasa mendoakan agar anak yang dilahirkan berada dalam keadaan sihat. Menyambut kelahiran itu dengan air mata menahan sakit ibarat “berkorban nyawa”, maupun air mata kegembiraan menyambut anak, tak kira lelaki atau perempuan, dengan penuh harapan anak sihat, cukup sifat dan tanpa sebarang kecacatan. Seorang ibu ketika menyambut bayinya, pasti dibelek dan ditelanjang-bulatkan untuk melihat apa jua “tanda kelahiran” yang ada, walaupun masih sukar untuk ditentukan.

Setelah itu, bayi akan disusui, dititiskan dengan susu badan, dan mulalah saat kehidupan seorang anak. Saban hari pantang melihat anaknya menangis tanda kelaparan, terus ia terhenti dari sebarang pekerjaannya untuk memberikan anaknya “susu”, yang semakin hari semakin membesar anak itu.

Mulalah perkataan pertama anak itu dengan memanggil ibunya “mama”, “emak / mak”, “ibu” dan apajua panggilan, yang khusus untuk ibunya. Tidaklah terputus kasih sayang ibu kepada anaknya yang kekal sepanjang hayatnya.

Apabila anak itu membesar, dihantar olehnya ke sekolah, yang bermula dengan Sekolah Tadika dan dipilihnya sekolah yang baik-baik. Seterusnya anak itu akan meningkat belajar di sekolah rendah, menengah, kolej dan universiti, dan senantiasalah ia berdoa agar anak itu mendapat kejayaan dan kelulusan yang terbaik. Disediakan segala keperluan anak itu, dari wang perbelanjaan setiap hari, apa jua keperluan lain, malah jika anak itu meminta sesuatu, diikhtiar olehnya agar permintaan anaknya itu dapat disempurnakan olehnya, dengan harapan anaknya gembira dan pelajaran anaknya itu tidak terganggu serta dapat belajar dengan tenang.

Inilah pengorbanan seorang yang kita panggil “mama” ,“ibu”, atau “mak”, yang tidak setanding dari pengorbanan seorang ayah! Pernahkah kita terfikir apakah pengorbanan mama dan “ayah” kita selama ini dan apakah perbezaannya? Bukanlah aku hendak mengecilkan hati seorang “ayah” kerana tanpa “ayah”, tidak lahirlah kita, tetapi hakikat sebenarnya perlu diambil iktibar.

Ingat dan hargailah pengorbanan ibu, bukan itu saja, dengarlah segala nasihat dan pandangannya, patuhlah kepada segala yang disuruh dan diminta, kerana pengalaman ibu itu sudah ada dalam sanubarinya sebelum kita lahir lagi. Ibu tidak mahu anak-anaknya menerima penderitaan yang pernah dialaminya, percayalah.

Bait-bait dari lagu berikut yang lahir dari rasa kasih kepada seorang ibu perlu diambil sebagai teladan dan panduan. Sebenarnya, aku tetap ingat sehingga kini, ibu aku sendiri sering mengingatkan aku kepada dua baris pertama bait lagu ini.

Kasihnya Ibu

Kasihnya ibu, Membawa ke syurga
Kasihnya saudara, Masa berada

Berkorban raga, Rela binasa
Berkorban nyawa, Tanda kasihnya

Kasihnya ayah, Sanggupkah berpisah
Dan kasih anaknya, Berkorban nyawa

Biar pun jiwa, Akan tersiksa
Ikhlas dan rela, Asal kau bahagia


Assalamualaikum, wbk.
Ikhlas dari seorang yang menganggap dirinya “abah”!

No comments:

Post a Comment