SURATAN ATAU KEBETULAN ...sesuatu yang tak disangka, seringkali mendatangi kita, itukah suratan dalam kehidupan, atau hanya satu kebetulan....



Tuesday, May 10, 2011

SAMBUNGAN - LUAHAN HATI ABAH Vs..HUBBY (SELAMAT HARI IBU)

Nostalgia – Bab 2

“SYURGA DIBAWAH TAPAK KAKI IBU ....”

Terlalu ramai penyanyi yang menyanyikan lagu bertajuk seakan-akan di atas. Terlalu banyak versi dan berbagai nada dan irama disampaikan, tetapi apa yang hendak disampaikan adalah sama. “Ibu” adalah seorang insan yang amat mulia, yang harus dihormati dan disanjung tinggi, terutama oleh anak-anaknya sendiri, jika tidak, siapa lagi?

Mak aku kini berehat di rumah abang sulong aku yang memastikan mak selesa dengan keadaan sekeliling. Penghibur bagi mak adalah cucu-cucu dan cicit-cicitnya yang tinggal berhampiran, jika tidak pun, dalam bandar yang sama. Alangkah indahnya kehadiran segenap lapisan ahli keluarga bersama-sama mendoakan kesejahteraan buat ibu, nenek atau moyang mereka. Memang tepat permintaan abang kami supaya emak berada dirumahnya yang memberikan kemudahan bagi adik-beradiknya yang lain untuk menziarah mak.

Dalam masa ziarah menziarah ini, terdengarlah berbagai panggilan dan gelaran untuk ibu yang keuzuran, seperti “mak”, “wan” dan “moyang”. Yang aku tidak dengar ialah panggilan yang dikhaskan untuk mak aku, bukan “wan”, bukan “nenek”, kerana panggilan-panggilan “wan” dan “nenek” ini menunjukkan tempat atau negeri mana kita berada. Panggilan inilah yang aku nantikan, iaitu “wan nenek”. Aku kini hanya berharap akan dapat mendengar panggilan ini ditujukan kepada mak aku, yang pernah bertanyakan dimanakah sesaorang (Mak masih ingat akan namanya) yang sering memanggilnya dengan panggilan “wan nenek” ini. Aku hanya memohon maaf kepada mak kerana aku tidak dapat menjawab pertanyaan mak yang satu ini.



Emak sebenarnya dikenali ramai, maklumlah, isteri seorang guru dizamannya. Mak sebenarnya sempat bersekolah dan tahu membaca dan menulis. Malah aku masih ingat lagi, ia menjadi “guru” kepada penduduk dalam “kelas dewasa” yang dianjurkan Kerajaan dalam tahun 50an dulu. Semasa aku bekerja di Kuantan, mak mengirimkan surat kepada aku memberitahu dan meminta aku balek kerana “ayahanda aku uzur”. Suratnya pendek tetapi padat dan membawa berita yang membuatkan aku balik segera.

Dia juga seorang “tukang masak” yang tahu cita rasa keluarganya. Suatu ketika aku minta adik perempuan aku memasakkan makanan kegemaran aku, iaitu “bubur kacang hijau”. Adik aku memasaknya walaupun tidak sepenuh hati, dan apabila aku memakannya, rasanya tidak seperti “masakan ibu”, dan aku terus tidak makan dan membiarkan adik-adik aku yang lain menghabiskannya. Ibu aku tahu perasaan aku, dan dalam diam dia memasakkan khas untuk aku bubur yang sama, dan hanya setelah jam 8.00 malam, mak beritahu aku ada sesuatu tersimpan dalam periok yang disorokkan dari adik-adik yang lain. Sememangnya masakan ibu juga yang menjadi pilihan, sehinggalah sekarang, apajua yang terlintas difikiran “nak makan apa”, pastinya mak akan menyediakan dengan penuh kasih sayang dan tersenyum lebar, puas hati melihat gelagat anaknya makan dengan titisan peluh didahinya .

Semasa dikampong, aku sering juga memasang pancing yang ditinggalkan semalaman di sungai Semantan berhampiran rumah kami dan ada ketikanya aku dapat ikan “baung” atau “patin”, dan mak akan memasaknya dengan tempoyak. Betapa enaknya dan aku dapat rasa keistimewaannya masakan ibu. Kalau setakat ikan patin seekor tu, dimasak dengan tempoyak, pastinya untuk aku seorang sahaja yang meratah dan menghabiskannya! Akan menjadi kenangan sepanjang hayat.

Mak senantiasa mengambil berat perihal pelajaran anak-anaknya. Aku dibantu oleh abang sulong aku meneruskan pelajaran. Mak akan senantiasa memberikan perhatian kepada aku, terutama ketika aku mengulangi pelajaran hingga larut malam dan kadangkala hingga kedingin pagi. Mak pasangkan “ubat nyamuk”, sediakan minuman, dan sering menjenguk aku untuk memastikan aku tidak terlena.

Aku juga tetap ingat akan bantuan dari abang yang akhirnya aku lulus peperiksaan dengan baik. Sebaik sahaja tamat peperiksaan, aku ditawarkan pekerjaan, kemudian meneruskan pelajaran aku, tidaklah setinggi mana tapi dapat juga menjejakkan kaki dan mengikuti pelajaran disebuah Universiti tempatan. Pada ketika itu, tidaklah terbayang oleh aku akan kejayaan ini, dan tidak pula terlintas difikiran aku untuk bertanya “Siapakah yang nak membantu aku belajar?”. Akhirnya, soalan ini jugalah pernah aku jawab kepada seseorang yang kini tiada lagi bersama aku. Walaupun perbelanjaan untuk belajar ketika itu tidaklah seperti sekarang, aku tetap ingat dan berterima kasih kepada abang aku, dan aku membalasnya dengan cara aku sendiri. Aku tahu, balasan yang aku berikan tidak mungkin setinggi nilai dari apa yang telah aku terima, tapi itulah juga pengorbanan seorang abang. “Terima Kasih” Long.

Mak mengajar aku supaya bersopan dan menghormati orang lain, terutama orang yang lebih tua dari kita. Dia memastikan aku senantiasa “berterima kasih” atas apa jua yang aku terima. Aku pernah terdengar pujian dari tetamu disatu majlis, dan tentunya, pujian ini adalah khas untuk mak yang “pandai mengajar anaknya berbudi bahasa dan menghormati orang lain”. Itulah mak atau ibu yang disanjung tinggi dalam hidup kita.

Mengingati pengorbanan mak atau ibu untuk anak-anaknya tidaklah semudah yang disangkakan. Pengorbanannya amat besar ertinya kepada kita dimasa kini, apa jua nasihat dan ditunjuk-ajar akan menjadi landasan kepada kita menjalani kehidupan dihari-hari mendatang, yang pastinya kita tidak dapat menduga apa yang akan terjadi. Dalam pada itu, jika sesuatu berlaku, barulah kita ingat pesanan ibu yang sememangnya “benar belaka, tiada yang tidak benar, melainkan benar belaka”. Disinilah letaknya pengalaman seorang mak atau ibu, yang lebih mengetahui selok belok kehidupan, tahu dimana benar dan dimana silapnya. Janganlah pula kita menyatakan “dahulu lain, sekarang lain”, tapi harus diingat, dengan adanya “dahulu” itulah yang menjadi “sekarang”. Ada kalanya kita terlanggar sesuatu, secara sepontan kita akan menyebut “aduh mak”, dan ketika itu, mak kita juga akan terasa debaran dihatinya, anaknya mengalami sesuatu yang tidak semestinya baik.

Aku tetap ingat dan menyanjung mak yang membesarkan aku bermula dengan “titisan susu badannya” yang kemudiannya membuatkan aku senantiasa lapar dan mahukan lagi dan lagi. Mak akan menjaga aku ketika aku sakit, memimpin aku bertatih, melangkah setapak demi setapak, mendukung dan membawa aku kemana sahaja, mak akan bertanggungjawab atas apa juga yang kita lakukan, samada baik atau tidak, dan jika aku yang bersalah, pastinya akan mendapat “denda” yang membuatkan aku akan ingat sepanjang hayat.

Hujung minggu ini aku akan balik menziarahi mak lagi, Insyaallah. Minggu lepas aku sempat bergambar dengan mak, dan kalau dilihat, rambut aku lebih panjang dari rambut mak. Aku bertanya kepada mak, kemana rambutnya yang panjang tu? Jawabnya senang sahaja, Long menggunting rambutnya semasa menunaikan Haji di Makkah dulu, dan lepas itu, rambutnya sentiasa dipotong pendek. Mak bertanya kenapa rambut aku panjang? Aku hanya menjawab, “niat aku nak minta seseorang memotongnya hingga botak tetapi tidak kesampaian”. Bila sampai tarikh yang sesuai, aku akan gunting pendek rambut aku ni dengan “niat” untuk “menyimpan-terus” kasih sayang yang terjalin begitu rapat selama ini.



Pengorbanan mak, mama atau ibu tidak akan berkesudahan, dan akan terus dalam ingatan setiap masa, pastinya dan tidak perlu dinafikan. Janganlah hendaknya kita lupa semua pengorbanannya semasa ada hayatnya, dan jangan pula kita hanya ingat setelah dia tiada dari pandangan kita. Amati dan fahamilah bait-bait lagu ini dengan harapan kita insaf atas apa jua kesilapan yang telah kita lakukan terhadap mak atau ibu kita.

“Duhai apakah gerangan budi balasan
Bagi insan melahirkan, membesarkan

Bercucuran airmata bila mengenangkan
Betapakah besar budi ibunda berikan
Siang malam menderita
Hingga entah bila
Sungguh besar pengorbanan
Ibunda berikan

Tiada bahagia jika tiada
Doa puja restu
Syurga itu telapak kaki ibu”

Assalamualaikum wbk.

No comments:

Post a Comment