Nostalgia – Siri 5; Episod 1
KENANGAN MENGUSIK JIWA, MENYENTUH HATI
Apabila anak gadis kami mencapai usia 5 tahun, kami hantar ia ke sekolah Tadika, yang berasaskan bahasa Inggeris. Setiap hari, balik dari sekolah, ia sering menceritakan alam persekolahannya bersama gurunya “Miss J”. Apabila kami cuba menunjukkan kepadanya apa yang dia belajar, dia akan menyatakan “Bukan begitu, Miss J kata macam ni”. Kami hanya tersenyum dan mengalah sahaja asalkan dia gembira belajar.
Kami berpindah ke rumah kami sekarang pada 27 Mei 1990 dan tahun ini sudah 21 tahun kami tinggal disini. Pada ketika itu, dia masih terus belajar di Tadika yang sama, dan setiap pagi kami menghantarnya ke rumah “pengasuhnya” dan mengambil dia pada sebelah petang selepas waktu kerja.
Dia kemudiannya belajar di sekolah rendah yang berhampiran dengan kediaman kami. Semasa umurnya meningkat, ia sering bertanyakan perihal “anak gadis” kepada mamanya, dalam persediaannya menghadapi umur remaja. Suatu hari, ketika aku sedang membaca, dia bergegas menurun tangga dan memberitahu kepada aku “Abah, adik dah datang!”. Aku agak terkejut, dan dengan penuh rasa kasih sayang, aku meminta dia berurus dengan mamanya. Pada peringkat awal, seorang anak gadis yang baru memasuki alam baligh, ia nampak begitu resah, asyik meminta kepada mamanya untuk membuat penukaran “lampin” yang dipakainya.
Dia memasuki sekolah menengah yang juga berada dalam kawasan perumahan kami. Setiap pagi mamanya menghantar ia ke sekolah, sebelum meneruskan perjalanannya ke Pejabat. Ia sudah mula mempunyai ramai kawan dan kenalan, dan dengan secara tidak lansung, perbelanjaan sehariannya juga bertambah. Kami pastikan wang sakunya cukup setiap hari memandangkan kos keperluan makan dan minum juga meningkat.
Pada 19 November 2002, dengan secara spontan, dia bercerita mengenai “perkahwinan” yang mana aku tidak kisah sangat kerana begitulah “anak remaja” yang sudah masuk kealam “anak dara pingitan”. Apa yang mengejutkan aku ialah, anak gadis ini telah meminta aku supaya “mewalikannya” sekiranya dia berkahwin kelak. Aku amat terharu dengan permintaannya ini yang membuatkan mata aku berlinangan. Aku menerangkan kepadanya perkara-perkara yang seharusnya ia tahu mengenai urusan “akad nikah”!
Itulah anak gadis kami, yang kami kasihi sepenuh hati, yang kami merindui sepanjang masa, yang sudah jauh dari pandangan kami!
Assalamualaikum, wbk.
Ikhlas dari seorang yang menganggap dirinya “abah”!
No comments:
Post a Comment