SURATAN ATAU KEBETULAN ...sesuatu yang tak disangka, seringkali mendatangi kita, itukah suratan dalam kehidupan, atau hanya satu kebetulan....



Monday, May 30, 2011

LUAHAN HATI ABAH Vs HUBBY

Nostalgia – Siri 6; Episod 2 (Terakhir)

KENANGAN MENGUSIK JIWA, MENYENTUH HATI.

Masa terus berlalu, dan sudah sampai masanya anak gadis kami memasuki kolej selepas tamat pengajian sekolah menengah. Pada 9 Jun 2003, setelah permohonannya berjaya, kami menghantarnya ke Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) di Bangi, Selangor dimana dia akan mengambil jurusan pilihannya, Diploma Pengurusan Perniagaan, dan tinggal di asrama. Kami agak risau kerana dia tidak pernah berpisah dengan kami tetapi kami perlu menerima hakikat sudah sampai masanya dia berjauhan dengan kami. Hanya selepas satu (1) malam sahaja, kami dikejutkan dengan panggilan telefon pada jam 12.00 tengah malam yang meminta kami datang segera kerana kejadian semasa orientasi memerlukan dia dibawa balik untuk sehari dua. Dia amat ketakutan ketika ditemui dan memeluk aku erat, dan aku membawa dia balik untuk berehat sehingga dihantar semula ke Kolej pada keesokan harinya.

Pemilihan jurusan semasa belajar di Kolej dan Universiti adalah pilihannya sendiri, tanpa desakan dari aku maupun mamanya. Kami hanya memberikan pandangan dan pendapat untuk dia membuat pemilihan, yang sememangnya dia boleh memilih berbagai jurusan yang telah disahkan layak untuknya.

Setelah tamat pengajian di peringkat Diploma, dia seterusnya memohon untuk melanjutkan pelajarannya di peringkat Ijazah. Pada malam hari Khamis, 11 Januari 2007, selepas menyemak Laman Web Universiti Teknologi MARA (UiTM), ia telah mengejutkan kami dari tidur dan dengan penuh keriangan, memaklumkan kepada kami yang ia telah diterima melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Kepujian) dalam Perniagaan Antarabangsa (International Business) di UiTM Shah Alam. Ketika inilah, dengan penuh emosi ia bertanya “Siapa yang akan membantu adik belajar?” dan dia sendiri sedia maklum akan jawapannya.

Pada hari Isnin, 15 Januari 2007, kami menghantar anak gadis kami ke UiTM mendaftar sebagai seorang Siswa yang diidamkan olehnya; dan harap ia akan berjaya dengan sebaiknya. Segala keperluan untuknya disediakan, dan pada 10 Februari 2007 kami menempahkan sepasang cermin mata pertamanya yang amat perlu untuk pembelajarannya.

Pada hari Khamis, 31 Mei 2007, anak gadis kami telah dianugerah Diploma Pengurusan Perniagaan di UiTM. Kami hadir di Majlis Konvo dan amat gembira melihatnya mencapai kejayaan setelah belajar selama beberapa tahun.

Pada hari Sabtu, 24 Oktober 2009, kami menghantar anak gadis kami ke UiTM untuk sambutan hari Konvo dan menerima Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Kepujian) dalam Perniagaan Antarabangsa (International Business). Dengan penerimaan Ijazah ini, tamatlah sudah semua pengajiannya dan perlulah ia membuat persediaan untuk mencari pekerjaan dan menghadapi dunia luar yang sangat mencabar.

Nota terakhir

Itulah dahulunya, anak gadis kami, yang kami telah berikan kasih sayang sepenuh hati; yang kami telah menanggung rindu sepanjang masa; tetapi sudah semakin jauh dari pandangan kami, hanya kerana “kesesatan” yang membuatkannya tidak tahu jalan pulang!. “Kesesatan” itu hanya setelah dia menemui sesuatu yang “baru” yang lebih utama bagi dirinya; dan melupakan kami yang “lama”; yang sudah tidak ada nilai baginya. “Kesesatan” itu juga membuatkan dia lupa siapa sebenar dirinya; dia lupa siapa yang mendidik dan membesarkannya; siapa yang mempastikan dia mendapat pendidikan pelajaran sehingga ke menara gading; dia lupa siapa yang mengalirkan air mata ketika mencari rumah sewa yang baru setelah ia “di usir” dari “rumah tumpangannya”; dia lupa siapa yang menyediakan segala keperluan dalam rumah penginapan barunya; dia lupa siapa yang mengurus dan membayarkan tempat kediamannya setiap bulan dan segala bekalan makanannya semasa ia belajar; dia lupa siapa yang mengambil dan menghantarnya setiap minggu, samada dari KPTM Bangi atau UiTM Shah Alam sekalipun; malah lupa juga siapa yang menyediakan segala kemahuan dan keperluannya, yang pastinya apa saja yang dipinta, dia akan memperolehinya, samada cepat atau lambat sahaja; dalam sepanjang masa 25 tahun usianya bersama kami.

Semua itu sudah dilupainya. Bukan pula hajat kami untuk mengungkit-ungkit, kami hanya cuba menyedarkan sesiapa yang terlena atau mengingatkan kepada yang terlupa, malah kami cuba memberi gambaran apa yang sebenarnya. Kami tahu hajat kami ini tidak mungkin tercapai!

Kami tidak mengharapkan apa-apa lagi darinya, ingatan dan kenangan sudah tiada lagi, kasih sayang jauh sekali. Setelah 9 bulan dia menghilangkan diri tanpa sebarang berita, tiada panggilan telefon, tiada email, tiada SMS, malah tidak ada apa jua yang dimula olehnya dengan tujuan untuk mencari kebaikan. Semua “kenangan yang mengusik jiwa, menyentuh hati” sudah diletakkan disudut hati kami dan pintu hati kami sudah ditutup rapat, sukar untuk dibuka kembali hanya kerana kuncinya sudah berkarat!

Inilah nukilan terakhir dari kami yang sememangnya hina dari pandangan “semua”, yang “dikatakan” sukar untuk dibawa “berunding”, yang “dikatakan” semua yang buruk itu datang dari kami, Alhamdulillah.

Doa kami semoga Allah menunjukkan kami semua kebenarannya, Insyaallah. Sehingga itu, kami sudah “tidak wujud” lagi dalam kehidupannya.

Assalamualaikum wbk.
dari seorang yang pernah menganggap dirinya “abah” !




Notakaki. Sekiranya Pet membaca blog ini, sebagai makluman, semua nukilan yang dimuatkan atas nama “Hasanuddin” adalah luahan hati penulis sendiri. “Mama” sudah tidak berdaya untuk berkata apa-apa atau menulis lagi, kerana baginya, apa yang dilahirkan tidak memberi sebarang kesan, malah semakin jauh. Apapun, tulisan ini adalah yang terakhir oleh Penulis dengan tujuan dan maksudnya yang jelas.

1 comment:

  1. Salam. Uncle, did you find your daughter? I just want to know. And I'm also girl tht took course of International Business as you mention above. I didnt have any intended just it hit the bottom of my heart. I hope you are doing fine there. May Allah bless

    ReplyDelete